| |
Wawancara Wartawan Warta Darul Aman, WADIASSOFI JAAFAR dengan Pegawai Daerah Yan, TUAN HAJI MOHD FUZI MOHAIDIN yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Yan.
Warta Darul Aman (WDA): Bagaimana dengan projek penapisan minyak Hub Hidrokarbon Sungai Limau (SULIHH) di Yan?
|
Haji Mohd Fauzi (DO): Majlis pecah tanah projek ini akan diadakan pada bulan Julai 2009 yang akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah dan merupakan projek terbesar di negeri Kedah Darul Aman. Projek ini melibatkan penambakan laut seluas lapan kilometer persegi melibatkan dua syarikat iaitu Merapoh dan Hijjaz Sdn Bhd.
Pihak syarikat telah mengenal pasti teknologi yang akan digunakan untuk penambakan laut supaya tidak mengganggu eko-sistem yang sedia ada. Dari segi teknologi, kemungkinan besar akan menggunakan teknologi dari Korea untuk sistem penapisan minyak. Minyak mentah akan dibekalkan daripada negara Arab seperti Iran dan Kuwait. |
|
.jpg) |
|
Daerah Yan akan menjadi pusat penapisan minyak dan tempat simpanan minyak mentah bagi pelanggan dari Asia Pasifik. Dijangka apabila projek ini berjalan dengan lancar, projek ini akan menjana pendapatan sebanyak RM400 juta kepada Kerajaan Negeri Kedah di samping dapat menjana peluang pekerjaan sebanyak 30,000 pekerjaan. Kerajaan Negeri Kedah telah merancang bersama KISMEC untuk menyediakan tenaga kerja dalam bidang petrochemical untuk projek ini.
WDA: Boleh Tuan Haji terangkan mengenai projek pembesaran Pusat Peranginan Titi Hayun?
Projek pembesaran Pusat Peranginan Titi Hayun menelan belanja sebanyak RM2.7 juta. Pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) bersetuju untuk membiayai proses pengambilan tanah yang bertujuan untuk pembesaran kawasan Rekreasi Titi Hayun. Chalet yang sedia ada tidak dapat menampung jumlah pengunjung yang mahu menggunakan fasiliti di Titi Hayun.
Pada masa sekarang, kita hanya mempunyai sebanyak 10 chalet dan dua blok asrama serta tapak perkhemahan untuk para pengunjung. Oleh sebab itu, Majlis Daerah Yan telah berbincang dengan PKNK untuk membesarkan kawasan ini. Pihak Majlis Daerah Yan juga akan memohon kepada pihak Kementerian Pelancongan agar peruntukan pembinaan chalet dan kemudahan lain agar dapat diluluskan. |
WDA: Sektor pelancongan di Daerah Yan bagaimana pula?
Kita sedang mempromosikan tempat-tempat menarik yang ada di Daerah Yan seperti Rimba Rekreasi Titi Hayun, Rimba Rekreasi Batu Hampar, Pantai Murni dan Air Terjun Seri Perigi. Kita juga mempunyai homestay bertaraf antarabangsa di Kampung Raga, Yan. Di samping itu, kita juga turut mempromosi pusat peranginan Gunung Jerai yang sekarang ini telah siap dinaiktaraf. |
 |
Di Gunung Jerai juga, kita turut mempromosikan eko-pelancongan iaitu Taman Rimba Rekreasi Gunung Jerai dan Muzium Perhutanan yang mendedahkan kepada pelancong tentang kepentingan hutan. Di samping itu juga, Daerah Yan turut mempunyai empat buah pulau yang dijangka berpotensi untuk dimajukan sebagai salah satu sektor pelancongan di Daerah Yan.
Ini kerana masih lagi terdapat kawasan yang mempunyai batu karang di Pulau Songsong. Kita ingin merancang untuk memajukan sukan memancing di kawasan ini kerana Daerah Yan masih kaya dengan spesis ikan seperti ikan tenggiri, senangin, kerapu serta spesis lain. Untuk memajukan pulau-pulau ini, kita memerlukan pembinaan sebuah jeti yang lengkap dan boleh digunakan setiap masa. Justeru itu, Majlis Daerah Yan telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pelancongan Malaysia untuk pembinaan Waterfront di Pantai Murni serta pembinaan jeti di situ. |
WDA: Bagaimana dari segi kebersihan di Daerah Yan?
Dari segi kebersihan, kita masih lagi mengekalkan zon tanpa tong sampah di sepanjang jalan Yan Kechil sehingga Yan Besar. Kita juga menggalakkan program gotong-royong di peringkat mukim agar penyertaan daripada penduduk kampung serta belia agar masyarakat sedar tentang betapa pentingnya kebersihan dalam kehidupan seharian serta dapat mengelak dijangkiti penyakit berjangkit.
|
 |
Kita juga memantau premis-premis makanan agar memastikan kebersihan berada pada tahap yang baik dan apabila pelancong datang, mereka dapat menjamu selera dengan masakan yang lebih enak dan bersih. Di samping itu, Majlis Daerah Yan juga turut memantau sebarang aktiviti yang boleh merosakkan flora dan fauna di Daerah Yan. Untuk menceriakan Daerah Yan, Majlis Daerah Yan mengambil inisiatif untuk menanam pokok dan bunga-bungaan sepanjang jalan dan juga di kawasan tumpuan pelancong. |
WDA: Apakah produk utama yang dikenali ramai di Daerah Yan?
Antara produk utama yang dikenali ramai ialah minuman nira nipah. Sekarang ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) merancang untuk menambahkan lagi kawasan penanaman nipah di sekitar Daerah Yan.
WDA: Bagaimana dengan kemiskinan tegar?
Untuk pembasmian kemiskinan tegar, pentadbiran Daerah Yan telah mencadangkan agar dibina pusat penempatan di Dulang dan telah mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Kedah. Projek ini dinamakan Projek Perumahan Sejahtera Rakyat di mana terdapat dua komponen projek iaitu sebanyak 100 unit rumah yang akan dibiayai oleh sebuah yayasan dan sebanyak 150 unit rumah yang akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri Kedah. |
 |
Projek ini dijangka akan dapat menyelesaikan masalah perumahan rakyat termiskin terutama di Daerah Yan. Di samping itu juga, kita turut bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menangani masalah kemiskinan tegar di Daerah Yan. Pihak Majlis Ketua Kampung (MKK) turut sama membantu untuk mengenal pasti penduduk-penduduk miskin di kawasan mereka agar dapat diselaraskan di peringkat daerah.
WDA: Apa isu-isu yang menjadi topik utama di Daerah Yan? |
su banjir yang kerap berlaku di kawasan kaki Gunung Jerai iaitu di Kampung Titi Teras, Kampung Teroi Bukit, Kampung Kepala Bukit, Kampung Sungai Malai, Kampung Perupok dan Kampung Batas Ubi. Selain itu, kawasan lain yang mengalami banjir ialah di Parit Kilik sepanjang Bukit Besar sehingga Guar Chempedak.
Isu ini adalah isu yang terlalu lama. Oleh itu, pihak pentadbiran Daerah Yan telah meminta pihak JPS agar dapat mengemukakan cadangan sejumlah peruntukan untuk mengatasi masalah ini. Kita meminta JPS membuat kajian secara menyeluruh bagi tujuan mengatasi masalah banjir ini daripada berulang lagi. |
Kita difahamkan, untuk menyelesaikan masalah banjir di Parit Kilik sepanjang Bukit Besar sehingga Guar Chempedak akan menelan belanja sebanyak RM26 juta. Untuk menyelesaikan masalah di kawasan sekitar kaki Gunung Jerai akan menelan belanja sebanyak RM12 juta.
WDA: Apa harapan Tuan Haji untuk melihat pembangunan terus maju di Daerah Yan? |
 |
Harapan saya untuk melihat pembangunan terus maju di Daerah Yan ialah dengan menyelesaikan masalah kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah isu banjir dan dapat merealisasikan projek penapisan minyak Hub Hidrokarbon Sungai Limau yang dapat menawarkan pekerjaan dan menjana pendapatan kepada Kerajaan Negeri Kedah.
|
 |
| |
|