| | | FOKUS DAERAH : PADANG TERAP |
Wawancara Wartawan Warta Darul Aman, WADIASSOFI JAAFAR dengan Pegawai Daerah Padang Terap, TUAN HAJI MAT NOH AHMAD yang juga Yang Dipertua Majlis Daerah Padang Terap di pejabatnya baru-baru ini.
Warta Darul Aman (WDA): Bagaimana Tuan Haji melaksanakan tanggungjawab sebagai Pegawai Daerah dan juga Yang Dipertua Majlis Daerah Padang Terap? |
TUAN HAJI MAT NOH AHMAD: Sebagai Pegawai Daerah dan juga Yang Dipertua Majlis Daerah Padang Terap, saya ada Setiausaha dan Ketua-ketua Unit. Saya menjalankan tugas cuma dari segi penyelarasan sahaja. Kita ada mesyuarat jawatankuasa di peringkat daerah sebulan sekali. Sekiranya ada apa-apa masalah yang berbangkit, kita akan mengemukakannya dalam mesyuarat berkenaan.
Di bawah mesyuarat jawatankuasa itu, kita mempunyai Jawatankuasa Tetap Kewangan dan Pentadbiran, Jawatankuasa Kebersihan dan Keindahan dan Jawatankuasa Majlis Penuh. Di bawah jawatankuasa itu, kita ada Jawatankuasa Kecil Kewangan dan Kebersihan yang dipengerusikan oleh dua orang Ahli Majlis.
Di samping itu, kita ada Jawatankuasa OIC khas untuk proses pembangunan dan di sini saya boleh mengetahui di mana kelemahan dan kelewatan sesuatu masalah yang berbangkit untuk diatasi dengan segera.
Dari segi masa, saya akan menghabiskan masa di pejabat daerah pada waktu pagi dan pada sesi petang pula, saya akan berada di Majlis Daerah Padang Terap. Manakala dari segi kebajikan kakitangan, kita ada Majlis Bersama Jabatan (MBJ) dan berbincang dalam mesyuarat di MBJ. |
 |
|
|
|
|
WDA: Dari segi pembangunan Daerah Padang Terap, apa yang sedang dan akan dibuat?
Pembesaran jalan dari Hutan Kampung, Alor Setar ke Durian Burung sedang dalam pembinaan di mana 40 peratus sudah siap. Pembinaan lebuhraya yang bermula dari Durian Burung ke Baling sudah siap 80 peratus manakala di Kota Putra, bangunan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) sudah siap dan tunggu nak dibuka sahaja. Bekalan air dan elektrik sudah disediakan di situ. Dengan pembangunan Kota Putra itu, pembinaan sekolah, klinik, perumahan, balai polis, kompleks perniagaan akan dijalankan oleh pihak swasta.
Di Naka, pembinaan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) sedang dijalankan di mana kini siap 40 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2010 dan boleh beroperasi sepenuhnya pada pertengahan bulan Mac 2010.
Blok-blok tambahan Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Terap, Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang, Sekolah Menengah Kebangsaan Naka, Sekolah Menengah Pedu dan Sekolah Panglima Awang Kuala Nerang yang menelan belanja keseluruhan sebanyak RM13 juta dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Mac 2009. |
| Untuk bekalan air, pembinaan loji pembersihan di Padang Sanai yang menelan belanja sebanyak RM149 juta sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada bulan November 2009. Di samping itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Persekutuan turut menjalankan pengairan untuk tanaman padi dua kali setahun di Bukit Sena, Mukim Pedu yang melibatkan kawasan padi seluas 840 hektar di luar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang menelan belanja sebanyak RM23 juta dan dijangka siap pada bulan Mac 2010 yang membabitkan enam rumah pam air yang disalurkan melalui paip bawah tanah dan dilepaskan ke dalam sawah padi. |
 |
Manakala di Pekan Naka, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Persekutuan turut menjalankan ternakan ikan jenis ‘Baruandi’ di dalam 80 buah kolam konkrit di mana makanan ikan berkenaan ialah makanan organik dan dijangka siap pada bulan April 2009 yang menggunakan teknologi dari Australia.
WDA: Dari segi pembangunan luar bandar, apakah langkah-langkah yang dibuat untuk meningkatkan pendapatan penduduk?
Dalam Daerah Padang Terap, kita mempunyai seramai 200 keluarga miskin tegar dan 400 keluarga miskin. Apa yang kita buat ialah kita mempunyai Jawatankuasa Kemiskinan Daerah di mana kita mempunyai perancangan untuk meningkatkan pendapatan penduduk. Kita juga turut menjalankan pelbagai projek melalui kerjasama jabatan-jabatan berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar dan Jabatan Perikanan.
Kita juga akan cuba buat ternakan ikan keli dalam kanvas dan memilih orang yang betul-betul berminat untuk melaksanakannya di mana dua bulan selepas itu, ikan keli berkenaan boleh dijual. Untuk tujuan itu, kita akan mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Perikanan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Bank Pertanian.
Bagi penduduk yang tergolong dalam kemiskinan, KEDA akan memberikan rumah secara percuma kepada mereka di mana RM11,000 untuk memperbaiki rumah yang rosak dan RM30,000 untuk membina rumah baru.
Di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), seramai 2,400 orang sudah membuat pinjaman untuk menjalankan aktiviti bagi projek ekonomi seperti berniaga.
WDA: Bagaimana dengan pembangunan kerohanian?
Kita mempunyai banyak sekolah di mana kita ada sekolah agama iaitu Maktab Mahmud Cawangan Padang Terap, Sekolah Agama Khairiah di Pedu, Sekolah Agama di Padang Sanai dan sebuah Maahad Tahfiz di Padang Kerasak, Naka.
Kita juga turut mengadakan ceramah agama dengan kerjasama Jabatan Agama dan Jabatan Belia di samping Forum Perdana. Pada 26 Mac 2009, kita akan mengadakan perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah.
WDA: Bagaimana dengan kemudahan gerai-gerai yang disediakan kepada peniaga-peniaga kecil di Daerah Padang Terap?
Di Pekan Kuala Nerang, kita mempunyai sebanyak 50 gerai makanan di bawah kelolaan Majlis Daerah Padang Terap. Kita juga sudah menyiapkan sebanyak 15 unit gerai baru untuk diberikan kepada peniaga Bumiputera. Di samping itu, Majlis Amanah Rakyat (MARA) Kedah turut menyediakan 19 unit ruang niaga di bangunan Arked Kuala Nerang.
Dalam banyak-banyak masalah yang kita hadapi ialah tunggakan sewa bulanan. Kita turut mengadakan perjumpaan dan berbincang dengan peniaga-peniaga bagi mencari jalan untuk mengatasi masalah yang berlaku itu di mana Bahagian Kewangan akan turun padang sebulan sekali untuk mengutip sewa bulanan berkenaan dan kita nampak ada kemajuan sedikit dari segi pembayaran.
|
 |
WDA: Apa perancangan yang dibuat untuk memajukan beberapa kawasan atau tempat yang dikenal pasti sebagai salah satu daya tarikan pelancongan?
Pengkalan Tok Mas dikenal pasti sebagai salah satu daya tarikan pelancongan domestik di mana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah sudah menyediakan kemudahan asas di situ seperti dewan, kawasan pejalan kaki dan pondok rehat yang menjadi tumpuan orang ramai pada hari Jumaat dan Sabtu.
Kita juga turut mempunyai kawasan air terjun yang cantik di Puncak Janing yang terletak 15 kilometer dari Pekan Kuala Nerang di samping Tasik Pedu.
Kita mempunyai Terap Inn yang mempunyai 16 bilik yang mempunyai standard dengan hotel yang mengenakan bayaran sebanyak RM90 untuk satu malam. |
WDA: Bagaimana dengan kutipan sampah?
Dari segi kutipan sampah, kita tidak menghadapi sebarang masalah kerana mempunyai lori dan kakitangan yang mencukupi. Tiap-tiap hari, kita akan mengutip sampah di Pekan Kuala Nerang kecuali hari Jumaat manakala di Pekan Naka, tiga kali seminggu manakala hari Sabtu, operasi mengutip sampah berjalan seperti biasa.
WDA: Bagaimana dengan bidang pendidikan?
Kita mempunyai sebanyak 21 buah sekolah rendah dan tujuh buah sekolah menengah di mana jumlah pelajar ialah seramai 15,000 orang. Sekolah yang mempunyai ramai pelajar ialah Sekolah Menengah Kuala Nerang (2,000 pelajar) dan Sekolah Menengah Syed Ahmad, Kuala Nerang (2,000 pelajar) manakala kelengkapan dan pendidikan amat mencukupi. Dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), Kerajaan akan membina sebuah sekolah menengah di Kuala Nerang.
WDA: Bidang sukan bagaimana pula?
Untuk bidang sukan, kita mempunyai mini stadium di mana kita mendapat peruntukan daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) pada tahun 2008 untuk memperbesarkan saiz padang bola sepak.
Di samping itu, Kompleks Futsal yang terletak di Pekan Kuala Nerang turut disediakan kepada orang ramai untuk beriadah bersama rakan pada waktu petang dan malam di mana bangunan kompleks berkenaan adalah milik Majlis Daerah Padang Terap dan dibina oleh pihak swasta. |
| |
|