| |
Ternakan ikan sangkar beri pulangan lumayan
Oleh: WADIASSOFI JAAFAR
MERBOK: Projek ternakan ikan sangkar mampu memberikan pulangan yang lumayan sekiranya diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan ternakan berkenaan mempunyai potensi yang besar.
|
|
Inilah yang dibuktikan oleh Ahmad Che Wan, 46 tahun yang berasal dari Sungai Limau, Yan yang mengusahakan ternakan ikan sangkar sejak pertengahan tahun 2007 di Segantang Garam, di sini.
Ternakan ikan sangkar yang diusahakan oleh Ahmad ini terletak berhampiran dengan Chalet Terapung di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan Merbok.
Terdapat tiga jenis ikan yang diternak oleh Ahmad iaitu siakap, jenahak dan kerapu yang mampu membantu mempromosikan spesies ikan berkenaan sebagai satu produk makanan.
Benih ikan siakap dibeli dari Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Petani manakala benih ikan kerapu dan jenahak hanya ditangkap menggunakan bubu.
Ikan siakap, jenahak dan kerapu antara beberapa jenis ikan yang mendapat permintaan yang tinggi di kalangan pengusaha restoran kerana rasanya yang enak di samping mempunyai protin yang baik untuk tumbesaran badan.
Ahmad berkata, menjalankan kegiatan perniagaan ikan sangkar ini membantu meningkatkan taraf hidup keluarga di samping memberi kepuasan apabila dapat menerangkan kepada pelanggan tentang kehidupan spesis itu.
Beliau mengusahakan ikan sangkar berkenaan sejak tiga tahun lalu bersama tiga rakannya dan memastikan hasil ternakan ikan sangkar itu dapat dipasarkan mengikut masa yang ditetapkan.
Jumlah permintaan yang meningkat menyebabkan kegiatan perniagaan yang dijalankan itu menjadi semakin seronok malah beliau berhasrat untuk mengembangkan kegiatan perniagaan pada masa akan datang.
Ikan siakap dijual dengan harga RM18 sekilogram dan ikan kerapu dijual pada harga antara RM30 hingga RM32 sekilogram manakala ikan jenahak dijual pada harga antara RM18 hingga RM22 sekilogram.
Ternakan ikan sangkar yang diusahakannya itu turut menerima lawatan daripada pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim Perak, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang serta Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan Merbok.
Tempat untuk aktiviti memancing juga turut disediakan kepada orang ramai dan bayaran sebanyak RM10 seorang akan dikenakan dan antara kemudahan asas yang turut disediakan ialah dapur memasak, paip air, bilik air dan bilik penginapan.

Kembali Ke Laman Utama
|
 |
| |
|
| |
|