| |
Pembeli domestik keli tempah 680 tan sebulan
Oleh: NIK NURUL NADZIRAH NIK MD ZABARI
SIK – Ketua Pegawai Eksekutif Novel Ventures Sdn. Bhd, Dr. Abdul Wahab Ismail memberitahu, pihak pengusaha telah menerima pertanyaan dan sebut harga daripada beberapa pembeli pukal. Ini termasuk lapan bakal pembeli domestik dengan jumlah kuantiti sebanyak 680 metrik tan sebulan. |
|
Manakala, enam bakal pembeli luar negara juga menunjukkan minat, termasuk pedagang-pedagang ikan di United Kingdom, Timur Tengah, Jepun , India, Belgium dan Nigeria dengan jumlah kuantiti sebanyak 580 metrik tan sebulan.
Projek Keli-K ini dibangunkan secara usahasama di antara Perbadanan Menteri Besar Kedah dengan Dawi Corporation Sdn. Bhd (D-Corp) melalui penubuhan sebuah syarikat bernama Novel Ventures Sdn. Bhd.
Projek ini merupakan cetusan idea daripada YAB Menteri Besar Kedah sendiri, memandangkan penternakan keli secara komersial dengan skala besar harus diterokai.
“Ini kerana potensi pasaran yang luas sama ada untuk pemasaran dalam negeri mahupun pasaran antarabangsa, malah boleh menjana kegiatan ekonomi rakyat dengan penglibatan mereka di semua peringkat keusahawanan,” ujar Dr. Abdul Wahab.
Menurutnya, D-Corp telah terlibat lebih tiga tahun dalam menghasilkan benih ikan keli secara kacukan yang diberi nama Keli-K dengan mengunakan teknologi dan sistem kanvas.
“Pihak kami juga telah berjaya menembusi pasaran Thailand dengan jumlah kuantiti benih Keli-K sebanyak 1 juta setiap tahun,” katanya.
Kerajaan Negeri Kedah telah menyediakan tapak seluas tujuh ekar sebagai tapak pembesaran benih Keli-K yang bertempat di Sungai Pau.

Kembali Ke Laman Utama
|
 |
| |
|
| |
|