MERBOK: Chalet Terapung Pertubuhan Peladang Kawasan Merbok yang terletak di Segantang Garam, di sini merupakan sebuah destinasi agropelancongan yang unik dan cantik dengan berlatar belakangkan panorama hutan paya bakau Sungai Merbok.
Untuk sampai ke Chalet Terapung Pertubuhan Peladang Kawasan Merbok ini, perjalanan darat 12 kilometer dari Pekan Merbok menghala ke Sungai Gelam, Bujang dan 20 minit menaiki bot dari Tanjung Dawai serta 30 minit menaiki bot dari Jeti Semeling.
Pengurus Bahagian Agro Pelancongan dan Infra Struktur Ladang di Pertubuhan Peladang Kawasan Merbok, Hamdan Awang berkata, antara kemudahan yang disediakan di situ ialah tiga buah chalet terapung dengan dua buah bilik tidur berhawa dingin setiap satu yang dilengkapi dengan perabut, peralatan dapur untuk memasak, televisyen dan kemudahan penginapan.
Menurutnya, kemudahan lain yang disediakan ialah pelantar terapung untuk aktiviti memancing dan riadah dilengkapi kiosk jualan makanan kering/minuman, kedai cenderamata, surau, tempat membakar ikan, akuarium dan sangkar ikan untuk memancing.
Bangunan pusat informasi dan sebuah dewan terapung untuk mesyuarat, jamuan makan, karaoke dan indoor games serta aktiviti berkayak turut disediakan di samping dua buah bot untuk aktiviti menyusuri Sungai Merbok, hutan paya bakau dan memancing di pulau-pulau berhampiran.
Jeti pendaratan/pelepas, pelantar menghubungi setiap bangunan terapung, wakaf menunggu serta kiosk jualan makanan kering dan minuman di darat, tapak meletak kenderaan dan jalan masuk melalui hutan paya bakau, bekalan air paip dan elektrik serta kemudahan internet, telefon dan Astro turut disediakan.
Kadar bayaran penginapan di Chalet Terapung ini ialah RM120 untuk satu malam (maksima enam orang) dan tambahan RM15 setiap orang termasuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas manakala untuk memancing tanpa menginap akan dikenakan bayaran sebanyak RM15 seorang (tanpa had masa) dan aktiviti pakej serta mesyuarat boleh dirunding. Masa untuk check in pada jam 2 petang dan masa check out pada jam 1 petang.
Untuk keterangan lanjut dan tempahan boleh menghubungi Pertubuhan Peladang Kawasan Merbok, Jalan Batu Hampar, 08400 Merbok, Kedah di talian 04-4572117 atau melalui faksimili: 04-4572611 (waktu pejabat) atau melalui e-mail: ppkmerbok@lpp.gov.my atau Hyder Jaleel Gafoor Abdul Rasheed (019-5746639) atau Hamdan Awang (019-4425560) atau Rozita Adnan (019-5775812).
By [10/03/2010 09:34 - Arrezes]
Saya harap dengan adanya perkhidmatan sebegini dikhuatiri orang yang mengunjungi tidak menghiraukan amalan kebersihan. Biasanya mereka mengambil mudah dengan membuang sampah di dalam sungai kerana ada kebiasaan di kalangan orang ramai yang mengambil mudah, menggunakan sungai sebagai tempat pembuangan sampah. Harap ada tindakan untuk pengunjung yang membuang sampah di dalam sungai