| |
Masyarakat berkualiti bermula dari keluarga
Oleh: AZMAN AHMAD
YAN – Masyarakat berkualiti bermula dari sebuah keluarga yang berkualiti. Seorang Islam yang berkualiti perlu menurut semua syariat yang telah digariskan oleh Islam. |
|
Mufti Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Sheikh Baderudin berkata demikian di forum perdana sempena Mini Karnival Kedah Sejahteran anjuran Pejabat Daerah Yan yang diadakan di Pekan Sungai Limau.
Beliau seterusnya menekankan tentang keperluan menuntut ilmu kerana melalui ilmulah seorang Islam akan menjadi berkualiti dan seterusnya akan membentuk masyarakat berkualiti.
Dato’ Sheikh Baderudin turut menyentuh mengenai isu menutup aurat yang menjadi kewajipan setiap orang Islam terutamanya wanita. Pemakaian tudung yang berbagai jenis kadangkala tidak mencerminkan kehendak syariat Islam itu sendiri.
“Tudung yang dipakai hanya sekadar memenuhi kehendak fesyen semata-mata, ada yang tutup diatas tetapi bajunya tidak berlengan,” katanya
Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Sheikh Faisol Omar memfokuskan tentang kualiti sesebuah keluarga dalam membentuk masyarakat yang berkualiti.Antara yang disentuh adalah adab memberi salam dan hubungan suami isteri serta kewajiban menunaikan solat.
“Budaya mengunjungi pasar malam semasa hampir solat Maghrib menjadikan seseorang itu lalai dan leka dari mengerjakan tuntutan fardhu ain.
“Kelekaan membeli belah di pasar malam akan menyebabkan seseorang muslim itu terlepas waktu solat Fardhu Maghrib dan ini mengundang kepada kemurkaan Allah,” katanya selaku panel forum tersebut.
Sementara itu seorang lagi panel, Dr. Ahmad Bakir menyentuh tentang adab seseorang Muslim dalam menghormati ajaran Islam.
“Membaca A-Quran adalah sunat. Apabila kita mendengar ayat-ayat suci Al-Quran kita perlu mendiamkan diri dan memahami isi ayat yang dibaca. Para sahabat apabila dibacakan ayat-ayat Allah akan gementar hati mereka kerana takutkan Allah, tetapi orang Islam sekarang sudah hilang semua ini apabila ayat Al-Quran dibaca dengan iringan muzik dan tidak mengikut adab-adab membaca Al-Quran sebagai mana yang diajar oleh Islam,” katanya.
Beliau kesal dengan tindakan segelintir artis yang semakin berani membaca ayat-ayat al-Quran dalam persembahan pentas dengan iringan muzik.
“Ketiadaan adab ini menjadikan seorang Islam itu tidak berkualiti dan seterusnya akan menjadi ikutan anak-anak muda yang sememanganya suka mengikut perbuatan artis,” ujarnya.
Mini Karnival yang diadakan selama dua hari ini dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.
Forum Perdana yang diadakan pada malam kedua yang juga merupakan penutup Mini Karnival turut membariskan Sheikh Faisol Haji Ahmad Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu dan Prof Madya Dr. Ahmad Bakir Abdullah, Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Arab Kolej Universiti Insaniah sebagai ahli panel.
|
 |
| |
|
| |
|