ALOR SETAR: Permainan sukan tradisional yang kini mula ditinggalkan generasi muda akan diperkenalkan semula oleh Majlis Kebudayaan Negeri Kedah.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Warisan, Kebudayaan serta Penerangan, YB. Dr. Hamdan Mohamed Khalib, langkah memperkenalkan semula permainan tradisional itu adalah melalui karnival yang diadakan di Negeri Kedah termasuk pada Karnival Kedah Sejahtera.
“Melalui karnival seperti ini, peralatan permainan tradisional akan dipamerkan kepada orang ramai terutama pengunjung karnival berkenaan dan secara tidak langsung dapat mendekatkan orang ramai untuk mengenali permainan itu,” katanya.
Beliau menjelaskan, selain dipamerkan pada karnival itu, Kerajaan Negeri juga meminta agar lebih banyak persatuan menyertai sukan tradisional dan apabila mendapat penyertaan menggalakkan daripada orang ramai, satu program berasingan mungkin dapat dilaksanakan.
Sekarang, katanya, permainan tradisional yang mula mendapat tempat adalah permainan wau yang berada ditempatkan di bawah Persatuan Wau Negeri Kedah.
Dr. Hamdan memberitahu, Kedah pernah memenangi beberapa kategori pada pertandingan wau di Satun, Thailand dan berharap pada tahun ini Kedah mampu menjadi penganjur pertandingan wau.
Tambahnya, persatuan di sekolah juga perlu mewujudkan persatuan atau pun kelab permainan tradisional kerana pada masa kini permainan wau sudah mula mendapat tempat dalam kalangan kanak-kanak.
Jelasnya, permainan tradisional yang lain seperti congkak dan galah panjang juga akan diperkenalkan kepada generasi muda melalui pendekatan yang berbeza.