| |
YB selesai masalah penduduk dengan segera
Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM
GUNONG – Kepantasan dan kecekapan pentadbiran telah berjaya membantu mangsa kebakaran, Puan Harisun Che Kassim, 52, serta tiga anaknya menerima rumah baru, di mana rumah mereka telah terbakar 26 November 2009.
 |
|
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, YB. Dato’ Ir Haji Amiruddin Hamzah, pada akhir tahun lepas, kerajaan negeri telah meluluskan RM 30,000 bagi pembinaan rumah baru keluarga Harisun dan telah memberi tempoh dua bulan kepada Pejabat Daerah Kota Setar untuk meyiapkan rumah tersebut, tetapi mereka dapat siapkan dalam masa satu bulan.
“Setelah berbincang dengan UPEN, kerjaan negeri telah luluskan RM 30,000 pada Disember lalu dan serahkan kepada pejabat daerah untuk bina rumah baru Kak Harisun.

“Tindakan segera pejabat daerah yang hanya ambil masa satu bulan, kami (kerajaan) jangka dua bulan baru boleh siap, tapi Alhamdulillah sebulan dah siap dan Kak Harisun dan anak-anak boleh tinggal di rumah ini dengan selesa.
“Kak Harisun layak dapat rumah seumpama ini kerana dia telah mendaftar dengan e-Sinar, jadi mudah bagi kerajaan negeri menguruskan bantuan yang diperlukan,” ujar beliau pada majlis penyerahan kunci rumah Harisun di Kampung Alor Ganchor, di sini.
Memandangkan kawasan Kampung Alor Ganchor sering dilanda banjir, kerajaan negeri telah meminta pejabat daerah bina rumah tersebut pada aras yang lebih tinggi daripada biasa.
“Saya minta platform rumah dinaikkan berbanding yang biasa untuk mengelak banjir memandangkan kawasan ini sering mengalami banjir. Harap keluarga Kak Harisun dapat teruskan hidup dengan lebih selesa dan sempurna.
“InsyaAllah kerajaan negeri akan terus membantu mereka yang memerlukan setakat yang terdaya dan termampu bagi meringankan beban mereka,” ujar beliau.
Beliau yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Exco) telah mengetuai bacaan doa selamat pada majlis penyerahan kunci rumah kepada Harisun.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Ketua Kampung Kampung Alor Ganchor, Haji Zakaria Osman turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas tindakan pantas kerajaan negeri membantu Harisun mendapat rumah baru. |
 |
| |
|
| |
|