| |
Pesta Wau 2010 di Bandar Laguna Merbok
Oleh: WADIASSOFI JAAFAR
SUNGAI PETANI: Penggiat wau di sekitar Sungai Petani berpeluang mempamerkan kemahiran membuat dan melayangkan wau pada Pesta Wau 2010 di Bandar Laguna Merbok, di sini yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat Tanjung Dawai dan Pelayang Sungai Layar bermula 26 Februari 2010. |
|
Permainan tradisional dan seni warisan budaya ini perlu dipromosikan agar tidak dilupakan oleh generasi hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Illias Ibrahim berkata, tujuan utama penganjuran pertandingan itu adalah untuk memperkenal cabang kesenian yang sihat kepada generasi muda di samping dapat mempertahankan warisan bangsa yang semakin terhakis oleh peredaran masa.
Menurutnya, pesta ini juga diharap dapat mencungkil bakat-bakat muda baru untuk diketengahkan ke peringkat negeri dan kebangsaan.
“Kita akan cuba menjadikan pesta wau ini sebagai salah satu produk pelancongan kepada Daerah Kuala Muda dan semua peminat, penggemar dan pembuat wau dijemput untuk mengunjungi pesta ini yang diadakan selama tiga hari di Bandar Laguna Merbok, di sini pada 26, 27 dan 28 Februari 2010,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, pihak penganjur menganggarkan penyertaan seramai 500 peserta berdasarkan rekod penganjuran terdahulu dan setiap penyertaan akan dikenakan yuran sebanyak RM6 dan lapan pemenang akan dipilih bagi setiap kategori pertandingan.
“Sebanyak dua kategori wau akan dipertandingkan pada pesta wau kali ini iaitu kategori wau tradisi dan wau bebas bagi merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM2,600 manakala kategori wau tradisi adalah terbuka kepada jenis wau bulan, wau jalabudi dan wau kecing manakala kategori bebas pula terbuka kepada semua jenis wau,” katanya.
Tambahnya, johan setiap kategori akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500, piala dan sijil penyertaan manakala tempat kedua akan menerima RM300 dan sijil penyertaan dan pemenang ketiga menerima RM200 dan sijil penyertaan.
Bagi penggiat-penggiat wau yang berminat menyertai pertandingan ini, bolehlah menghubungi Mohd Nasir Din di talian 013-4288440 untuk pendaftaran. |
 |
| |
|
| |
|