| |
Potensi pembangunan Daerah Kuala Muda terbuka luas
Oleh: WADIASSOFI JAAFAR
SUNGAI PETANI: Pembangunan dalam Daerah Kuala Muda masih terbuka luas untuk keperluan masa hadapan memandangkan masih terdapat potensi pembangunan tahap 1 merangkumi keluasan seluas 2,323.00 hektar. |
|
Potensi Impak Ekonomi Wilayah berfungsi sebagai modus ekonomi baru melalui pembentukan Kluster SME/SMI dengan potensi penglibatan Daerah Kuala Muda kepada perspektif global, khasnya dalam kawasan pembangunan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) dan IMT-GT, ASEAN dan Asia Pasifik.
Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Muda, YBhg. Puan Rozaina Dato’ Paduka Hj. Radzi berkata, unjuran penduduk tahun 2020 disasarkan seramai 527,159 orang dan pembentukan hierarki petempatan bagi mengimbangi taburan kependudukan di samping memperkukuhkan fungsi pusat-pusat petempatan semasa dan baru.
“Strategi Peralihan Sektor Perindustrian kepada cara dan teknologi yang moden iaitu melalui satu anjakan paradigm serta memperkukuhkan kluster sedia ada dan menggalakkan pembangunan kluster baru yang berpotensi seperti Halal Park bagi memacu pembangunan sektor industri,” ujarnya.
Menurutnya, potensi pembangunan pengezonan kawasan pertanian mengikut aktiviti dan sumber warisan sejarah, ekologi dan pertanian berpotensi sebagai aset pembangunan pelancongan.
Beliau menjelaskan, wawasan utama ialah memacu pembangunan Daerah Kuala Muda untuk menjadi Daerah Makmur dengan pembangunan Bandar Sungai Petani sebagai bandaraya yang dinamik dan mampan.
“Kemampanan fizikal dan alam sekitar menjadi teras utama dalam memperkukuhkan fungsi Sungai Petani sebagai Pusat Separa Wilayah dan mencapai pembangunan fizikal yang mampan melalui perancangan guna tanah yang menyeluruh serta efisien,” katanya.
Ia secara tidak langsung mampu memperkukuhkan pembangunan Sungai Petani sebagai pusat perdagangan, pusat perindustrian dan pusat pertanian moden utama bagi Daerah Kuala Muda.
Tambahnya, ia juga mampu memperkukuhkan sistem tadbir perancangan dan pembangunan daerah ke arah status Bandaraya Dinamik dan Mampan serta mempertingkatkan tahap aksesibiliti masyarakat dengan sistem perhubungan yang efisien dan efektif.
“Kemantapan ekonomi bersepadu turut memperkukuhkan pembangunan Sungai Petani sebagai pusat perdagangan, pusat perindustrian dan pusat pertanian moden utama bagi Daerah Kuala Muda,” jelasnya. |
 |
| |
|
| |
|