| |
Melancong sambil belajar di Yan
Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM
YAN – Daerah Yan menjadi destinasi pelancongan serta percutian sambil belajar apabila kawasan peranginan Titi Hayun bakal dibangunkan. |
|
Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM 30 juta untuk membangunkan sebuah resort yang lengkap dengan bilik-bilik penginapan serta dewan-dewan seminar bagi menjadikannya destinasi pilihan jabatan-jabatan kerajaan dan swasta yang ingin menganjurkan kursus atau seminar kepada kakitangannya.
“Kedudukan geografi Titi Hayun yang berada di kaki pergunungan serta dikelilingi hutan lipur yang terpelihara menjadikannya destinasi percutian sambil berkursus bakal menjadi tarikan kepada mereka yang cintakan alam semulajadi.
“Kerajaan negeri telah mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) untuk membeli tanah seluas 18 ekar di kawasan Titi Hayun bagi tujuan tersebut dan ianya telah dilaksanakan,” ujar beliau pada majlis perasmian Mini Karnival Kedah Sejahtera Peringkat Daerah Yan 2010 di Perkarangan Pejabat Penghulu Mukim Sala Besar, di sini.
Tambah beliau, bersesuaian dengan moto ‘Yan Daerah Pelancongan, Daerah Bersih’, Regency Hotel di Gunung Jerai yang dimiliki oleh PKNK telah beroperasi sepenuhnya, dan ianya bakal menjadi destinasi pelancongan utama bagi menarik kemasukan pelancong ke daerah itu.
Beliau juga prihatin terhadap masalah bekalan air yang melanda Kedah sekarang, ini disebabkan oleh kemarau yang melanda negara dan bertambahnya bilangan penduduk yang memerlukan air.
“Yan pada asalnya adalah kawasan pertanian dan pelancongan, Kedah merupakan pengeluar 50 peratus padi untuk keperluan negara. Dalam keadaan kemarau sekarang ini kita perlu jimatkan air kerana air hanya perlu digunakan untuk makan, minum, pertanian serta industri.
“Sama-samalah kita berdoa kepada Allah agar keadaan kembali pulih dan ini merupakan dugaan Allah. Oleh itu, kita perlu mengurangkan penebangan hutan untuk mengelakkan daripada masalah kemarau yang berlaku sekarang berterusan,” jelas beliau.
Mini karnival ini dianjurkan oleh Pejabat Daerah Yan dengan kerjasama Majlis Daerah Yan serta Majlis Ketua Kampung/Komuniti Sungai Limau adalah bertujuan memberi penerangan berkaitan usaha yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Pelbagai acara dimuatkan selama dua hari berlangsungnya program seperti pameran jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan, kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan, forum perdana, acara sukan dan kesenian rakyat serta gerai jualan.
Melalui program yang dianjurkan seumpama ini, penduduk setempat perlu mengambil kesempatan bagi mengeratkan hubungan persaudaraan sesama mereka serta dengan pemimpin masyarakat.
|
 |
| |
|
| |
|